Apa itu Kod Etika Profesional Keguruan?
Kod etika merupakan garis panduan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kualiti, produktiviti, dan disiplin dalam perkhidmatan seorang guru. Setiap profesion dalam pekerjaan mempunyai kod etika yang tersendiri, begitu juga dengan profesion perguruan. Setiap guru di Malaysia perlu mematuhi Kod Etika Profesional Keguruan yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan kerana ianya merupakan satu garis panduan dalam melahirkan guru yang cemerlang daripada semua aspek yang sesuai dengan falsafah pendidikan guru.
PELAKSANAAN KOD ETIKA PROFESIONALISME KEGURUAN
i. Tanggungjawab Guru Terhadap Murid
Seorang guru perlu mengutamakan kebajikan dan keselamatan muridnya daripada hal-hal yang lain termasuk hal peribadi sendiri. Seorang guru juga haruslah mempunyai sikap prihatin dan mengambil berat tentang keadaan muridnya tidak kira dalam pelajaran atau masalah yang berkaitan dengan diri mereka sendiri. Sikap pilih kasih juga harus dijauhkan dari diri seorang guru, semua murid perlu mendapat layanan sama rata tanpa mengira status, agama, dan bangsa. Sebagai contoh guru boleh menjadi sebagai pendengar luahan murid dan cuba untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi oleh para murid. Dengan itu, beban atau tekanan murid akan dapat dikurangkan seterusnya hubungan antara guru dan murid juga dapat dieratkan lagi.
ii. Tanggungjawab Guru Terhadap Ibu Bapa
Kod etika yang seterusnya ialah tanggungjawab guru terhadap ibu bapa, di mana guru perlu menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Apa yang dimaksudkan dengan pernyataan tersebut ialah setiap guru perlu berusaha untuk mewujudkan suasana yang mesra dan kerjasama yang erat antara urusan pendidikan dengan urusan rumah tangga. Hal ini dapat dilakukan dengan menganggap semua maklumat yang telah diberikan oleh ibu bapa tentang anak mereka adalah perkara sulit dan perlu dijaga. Guru tidak boleh sewenang-wenangnya membocorkan maklumat tentang murid atau tentang keadaan rumah tangga kepada sesiapa kecuali mereka yang berhak untuk mengetahuinya. Segala maklumat yang telah diberikan oleh ibu bapa murid kepada guru perlu digunakan demi kepentingan murid dan sebagai seorang guru adalah sudah menjadi tanggungjawab untuk menggunakan maklumat tersebut dengan bijaksana dan teliti. Oleh hal yang demikian, guru perlu menjaga kepercayaan ibu bapa dan murid dengan mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan suatu perbuatan yang boleh mengaibkan mereka.
iii. Tanggungjawab Guru Terhadap Rakan Sejawat dan Profesion Keguruan
Selain itu, seseorang guru juga mempunyai tanggungjawab terhadap rakan sejawatan yang berada dalam profesion yang sama. Oleh hal yang demikian, guru perlu mengelakkan diri daripada membuat sebarang tindakan atau mengeluarkan pernyataan yang boleh mencemarkan nama baik rakan sejawat di hadapan para murid atau ibu bapa murid. Setiap guru mempunyai tanggungjawab untuk menjaga maruah sebagai seorang guru dengan cara tidak melibatkan diri dalam apa jua kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai seorang guru. Secara ringkasnya, sebagai individu yang bergelar guru, adalah menjadi tanggungjawab diri untuk sentiasa menjaga atau tidak mencemarkan nama baik profesion keguruan. Sikap suka membantu rakan sejawat juga perlu sentiasa diterapkan dalam diri setiap guru. Sebagai contoh guru hendaklah sentiasa berlapang dada untuk menghulurkan bantuan dengan rakan sejawat terutamanya bagi mereka yang baru menceburi profesion keguruan.
iv. Tanggungjawab Guru Terhadap Masyarakat dan Negara
Kod etika profesionalisme perguruan yang terakhir ialah tanggngungjawab terhadap masyarakat dan negara. Semasa menjalankan tugas profesion guru perlu menitikberatkan setiap tingkah laku dengan menjalankan tanggungjawab sekali gus mengambil kira keperluan masyarakat dan negara. Di mana guru harus mengelakkan diri daripada menyebarkan apa-apa ajaran negatif yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat dan negara. Sudah menjadi tanggungjawab seorang guru untuk mendidik para murid menjadi warganegara yang mempunyai nilai-nilai murni yang positif dalam diri agar dapat menjamin masa hadapan negara. Dengan adanya didikan yang dapat membentuk murid yang bermoral tinggi, sudah tentu rakyat yang taat setia pada negara juga turut terhasil. Semasa memegang profesion keguruan, menghormati masyarakat semasa di tempat berkhidmat adalah salah satu cara guru untuk menjadi seorang warganegara atau masyarakat yang boleh membawa impak positif dalam diri masyarakat.
CABARAN PELAKSANAAN KOD ETIKA PERGURUAN DI MALAYSIA
Dalam apa jua perkara yang dilakukan atau dilaksanakan, sudah tentu mempunyai cabarannya yang tersendiri, begitu juga dengan pelaksanaan kod etika profesionalisme perguruan di Malaysia. Antara cabaran yang dihadapi ialah penggunaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Abad 21 yang sentiasa mengalami penambahbaikan serta perubahan mengikut peredaran masa. Kaedah PdP kini lebih cenderung kepada penggunaan gadjet dan teknologi elektronik. Sebagai contoh, semasa menghadapi pandemik Covid 19, PdP adalah berjalan dalam talian di mana setiap guru dan pelajar memerlukan peranti-peranti yang boleh digunakan untuk mengikuti aktiviti PdP seperti telefon pintar, komputer riba dan gadjet-gadjet lain. Hal ini telah menjadi salah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang guru kerana perlu menguasai kemahiran dalam penggunaan aplikasi-aplikasi yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti PdP. Bukan sahaja guru, pelajar juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan norma baharu kehidupan mengikut peredaran masa kini dan keadaan yang mendesak.
Selain itu, cabaran lain dalam pelaksanaan kod etika profesinalisme perguruan di Malaysia ialah guru terpaksa menanggung tanggungjawab kerja yang banyak. Hal ini dikatakan demikian kerana berlakunya reformasi pendidikan hari ini di mana tanggungjawab kerja sebagai seorang guru yang perlu ditanggung oleh guru bukan sahaja dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, malah guru juga terpaksa menghadapi masyarakat yang sentiasa memerhati segala perkara yang berkaitan perguruan. Pelbagai cabaran dan implikasi yang timbul disebabkan hal tersebut dan ianya menambahkan lagi beban kerja guru kerana perlu menghadapi keadaan yang menuntut perubahan dan pembaharuan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.
ISU SEMASA
Tular di media sosial video seorang guru yang merakam wajah salah seorang muridnya yang kurang kemampuan untuk membeli pakaian sukan. Sikap guru tersebut yang “gila konten” dianggap tidak beretika dan melanggar kod etika profesionalisme keguruan di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana tindakan guru tersebut dianggap telah mengaibkan muridnya dan ianya adalah bertentangan dengan kod etika profesion keguruan iaitu tanggungjawab guru terhadap murid dan tanggungjawab guru terhadap ibu bapa.
Merujuk kod etika profesionalisme keguruan, seorang guru perlulah menjalankan tanggungjawab terhadap ibu bapa iaitu berusaha untuk tidak melibatkan urusan pendidikan dengan urusan rumah tangga. Guru juga perlu mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu atau mengeluarkan apa-apa pernyataan yang boleh mengaibkan murid atau ibu bapa nya agar dapat menjaga kepercayaan ibu bapa terhadap guru. Dalam video tersebut, guru yang terbabit turut bertanya tentang pekerjaan ibu bapa murid itu sebelum memberitahu dia akan membelikan pakaian sukan untuk murid tersebut.
Selain itu, tindakan guru tersebut merakam serta menyebarkan video itu juga telah mencemarkan profesion keguruan. Hal ini kerana masyarakat berpendapat bahawa guru tersebut tidak menghormati privasi muridnya. Tambahan pula, guru tersebut dianggap telah mengaibkan murid dan ibu bapa kepada murid itu.
Mengulas tentang isu tersebut, seorang pakar pendidikan iaitu Dr. Anuar Ahmad telah berkata, tindakan segelintir guru merakam atau membuat siaran langsung semasa melakukan tugas rasmi adalah perilaku yang sepatutnya dielakkan. Hal ini kerana privasi murid-murid mestilah dijaga.
No comments:
Post a Comment