Saturday, June 4, 2022

HUBUNGKAIT KERJAYA GURU DAN AMALAN KOD ETIKA PROFESIONALISME DI MALAYSIA


HUBUNGKAIT KERJAYA GURU DAN AMALAN KOD ETIKA PROFESIONALISME DI MALAYSIA

Kerjaya Guru

            Kerjaya guru merupakan guru itu sebagai satu pekerjaan yang mulia dimana tugas dan tanggungjawab yang diberi, membentuk murid-murid dari segi fizikal, emosi, rohani dan intelek selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Menurut Akta Pendidikan 1996, “Guru” bererti seseorang yang mengajar murid di suatu institusi pendidikan atau menyediakan atau mengeluarkan bahan pelajaran atau memeriksa jawapan yang dikembalikan atau melalui pusat pendidikan jarak jauh, dan termasuklah guru besar atau pengetua. Selain itu, H. Syamsul Bahri Tanrere (1993) menyatakan guru adalah salah satu faktor yang sangat penting dalam pendidikan dan pengajaran, kerana gurulah yang akan bertanggungjawab dalam membentuk peribadi seorang murid.


 


Nilai etika kerja Kementerian Pendidikan Malaysia

            Dalam bidang pendidikan, etika keguruan digubal pada tahun 1970-an yang membawa maksud satu set tingkahlaku atau tanggungjawab guru terhadap pelajar, ibu bapa, masyarakat dan negara dan rakan sejawat serta profesion. Oleh itu, setiap guru yang sedang berkhidmat wajib akur dan tidak melanggar etika ini. Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggariskan tujuh nilai kerja yang wajib diamalkan oleh guru.

            Perkataan etika ini merupakan bahasa yang berasal daripada bahasa Greek yakni ‘ethos’ yang membawa maksud sikap atau adat yang menentukan tingkahlaku seseorang. Etika ini juga dicpta demi Menyusun sikap masyarakat melalui set peraturan dalam sistem sosial. Etika ini akan menjadi panduan seseorang untuk menentukan sama ada tindakan seseorang betul atau tidak sesuai.

            Amanah merupakan sifat bertanggungjawab dalam menjalankan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Nilai Amanah ini yang diterapkan dalam diri seorang guru adalah sentiasa menjalankan kerja yang diberikan dengan penuh tanggungjawab tanpa penyelewengan dan cuai. Seorang guru harus bersedia dalam menjalankan apa jua tugas yang diberikan dengan tanpa mengabaikan nilai etika kerja. Nilai Amanah ini juga penting dalam diri seorang guru dalam melakukan kerja diberikan iaitu seorang guru harus menggunakan masa dengan sebaiknya dan menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan dan tidak menggunakan masa pejabat untuk urusan peribadi.

            Nilai etika benar juga merupakan antara tujuh nilai kerja yang wajib diamalkan dalam bidang keguruan. Benar ini merujuk kepada seorang guru yang benar pada niat dan perbuatannya. Seorang guru harus mempunyai niat yang baik dan jujur dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Seorang guru akan mempunyai tugas yang banyak perlu diuruskan dan disiapkan pada suatu masa, jadi niat guru yang baik dalam mengurus dan menyiapkan tugas amat penting sepanjang proses melakukan tugasan bagi tidak menimbulkan masalah dan tidak membuat kerja dengan sambal lewa.

            Nilai etika bersyukur juga antara nilai kerja yang wajib diamalkan oleh seorang guru. Nilai kerja bersyukur ini merujuk kepada perasaan dan perlakuan yang menghargai nikmat dan pemberian. Bersyukur dalam nilai kerja ini disifatkan seperti tenang menghadapi masalah dan reda menerima kegagalan dan ujian serta tidak mudah putus asa. Penting seorang guru bersyukur dalam melakukan kerja supaya kerja yang dilakukan itu tidak terjejas dengan perasaan yang tidak menentu.

            Selain itu, dedikasi juga merupakan nilai etika kerja yang wajib diamalkan oleh seorang guru. Dedikasi ini merujuk kepada seorang guru yang berminat dan rela berkorban masa dan tenaga berterusan dalam menghasilkan kerja berkualiti. Nilai dedikasi ini akan membolehkan seorang guru akan bekerja dengan tekun tanpa rasa jemu dan bosan, sentiasa sedia menerima tugasan dan sanggup berkoban masa dan tenaga. Hal ini akan memastikan seorang guru akan konsisten dalam melakukan kerja apabila nilai dedikasi ini diterapkan oleh seorang guru. Seorang guru yang cergas dan pantas serta hasilnya menepati kehendak organisasi akan dapat dibentuk daripada nilai dedikasi ini.

            Seterusnya, ikhlas juga merupakan nilai etika kerja yang wajib diamalkan oleh seorang guru. Ikhlas ini merujuk kepada seorang guru yang berhati suci menunaikan tanggungjawab untuk menghasilkan kerja terbaik. Hal ini kerana seorang guru harus menerima tanggungjawab dengan rela hati, tidak berpura-pura atau mengelak amanah yang diberikan. Ikhlas melakukan kerja akan mendorong seorang guru saling menghormati antara satu sama lain tanpa sebarang kepentingan. Oleh itu, keikhlasan guru dalam menjalankan tugas sangat penting untuk seorang guru kekal komited sepanjang menjalankan tugas sebagai pendidik.

            Bijaksana merujuk kepada bagaimana seseorang guru ini dapat menggunakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan tindakan. Bijaksana ini juga antara nilai wajib diamalkan oleh seseorang guru apabila melakukan tugas sebagai seorang pendidik. Seseorang guru dapat melakukan tugas yang diberi dengan menggunakan seluruh, potensi, keupayaan dan kepakaran untuk menjayakan sesuatu tugas. Kerja yang bermutu dan berkualiti dilakukan oleh guru merupakan guru yang sentiasa berusaha melakukan kerja dengan kebijaksanaan yang ada pada diri mereka. Guru juga harus mempunyai fikiran rasional dan pertimbangan yang saksamam dalam menyelesaikan masalah. Dengan kebijaksanaan yang ada dalam seorang guru membolehkan guru sentiasa mempertingkatkan ilmu, kepakaran dan profesionalisme.

            Akhir sekali, penyayang merupakan nilai etika yang wajib diamalkan oleh seorang guru. Penyayang merujuk kepada seorang guru mempunyai perasaann dan perlakuan yang menunjukkan sikap memahami, menghargai dan mengambil berat. Seorang guru juga penting mengamalkan nilai penyayang dalam diri mereka supaya mewujudkan sifat pemaaf dan penyayang, tidak berdendam dan meninggi diri. Sifat penyayang penting apabila seorang guru melakukan kerja apabila bersama rakan sejawat, anak murid dan ibu bapa. Oleh itu, suasana kerja akan lebih baik apabila nilai penyayang diterapkan oleh guru.

 

 

 

ISU 1

Isu 1 ini menunjukkan bahawa kesan apabila guru tidak mengamalkan nilai etika yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Nilai etika ini amat penting untuk guru dan seharusnya diamalkan oleh guru dalam menjalankan tugas sebagai pendidik. Dalam keratan akhbar telah menyatakan yang guru yang ponteng kerja selama sebulan yang dapat memburukkan profesion guru ini. Oleh itu, seseorang guru yang telah ponteng selama sebulan akan diberhenti kerja dan perkara ini dipandang serius oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Nilai etika amanah ini wajib diamalkan oleh guru bagi tiada berlaku kes begini. Amanah ini merupakan guru yang mempunyai sifat bertanggungjawab dalam menjalankan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Nilai etika dedikasi juga harus ada dalam diri seseorang guru bagi memastikan mereka terus komited dalam melakukan kerja. Tegasnya, nilai etika amanah dan dedikasi ini penting tetapi tidak mengabaikan nilai etika lain yang harus diamalkan semasa menjalankan tugas.

Isu 2

Dalam isu 2 ini menunjukkan seseorang guru yang bernama Mohammad Shaffuan yang mengajar sekolah pendalaman Baram di Sarawak iaitu Sekolah Kebangsaan Long Sepiling. Dalam keratan akhbar ini, guru Muhammad Saffuan bersama anak muridnya telah terpilih menjadi wakil Malaysia Tokyo, Jepun dalam pertandingan Kid Witness peringkat antarabangsa. Daripada isu ini menunjukkan guru ini mengamalkan nilai etika kerja dalam melakukan tugas. Guru ini telah menggunakan kebijaksanaan yang ada untuk mengajar anak muridnya sepenuh hati dalam membimbing anak muridnya mewakili pertandingan peringkat kebangsaan. Nilai dedikasi yang telah ada dalam diri guru ini kerana guru ini berkerja dengan tekun tanpa rasa jemu dan bosan, sentiasa sedia menerima tugasan dan sanggup berkorban masa dan tenaga. Guru ini juga ikhlas dalam melakukan kerja walaupun beliau mengajar di sekolah pendalaman tanpa mengira status kaum dan agama. Oleh itu, nilai etika kerja ini dapat meningkatkan profesional guru dalam menjalankan tugas dan memberi panduan dalam menentukan tindakan mereka.

 RUJUKAN

Zaini Abdulah.(2021): Modul Perkembangan Pendidikan Di Malaysia Falsafah Dan Dasar. Tanjong Malim Perak. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 







PELAKSANAAN KOD ETIKA PERGURUAN DAN CABARANNYA DI MALAYSIA



                                                                                  

Apa itu Kod Etika Profesional Keguruan?

Kod etika merupakan garis panduan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kualiti, produktiviti, dan disiplin dalam perkhidmatan seorang guru. Setiap profesion dalam pekerjaan mempunyai kod etika yang tersendiri, begitu juga dengan profesion perguruan. Setiap guru di Malaysia perlu mematuhi Kod Etika Profesional Keguruan yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan kerana ianya merupakan satu garis panduan dalam melahirkan guru yang cemerlang daripada semua aspek yang sesuai dengan falsafah pendidikan guru. 


PELAKSANAAN KOD ETIKA PROFESIONALISME KEGURUAN



i. Tanggungjawab Guru Terhadap Murid

Seorang guru perlu mengutamakan kebajikan dan keselamatan muridnya daripada hal-hal yang lain termasuk hal peribadi sendiri. Seorang guru juga haruslah mempunyai sikap prihatin dan mengambil berat tentang keadaan muridnya tidak kira dalam pelajaran atau masalah yang berkaitan dengan diri mereka sendiri. Sikap pilih kasih juga harus dijauhkan dari diri seorang guru, semua murid perlu mendapat layanan sama rata tanpa mengira status, agama, dan bangsa. Sebagai contoh guru boleh menjadi sebagai pendengar luahan murid dan cuba untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi oleh para murid. Dengan itu, beban atau tekanan murid akan dapat dikurangkan seterusnya hubungan antara guru dan murid juga dapat dieratkan lagi.

 

ii. Tanggungjawab Guru Terhadap Ibu Bapa

Kod etika yang seterusnya ialah tanggungjawab guru terhadap ibu bapa, di mana guru perlu menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Apa yang dimaksudkan dengan pernyataan tersebut ialah setiap guru perlu berusaha untuk mewujudkan suasana yang mesra dan kerjasama yang erat antara urusan pendidikan dengan urusan rumah tangga. Hal ini dapat dilakukan dengan menganggap semua maklumat yang telah diberikan oleh ibu bapa tentang anak mereka adalah perkara sulit dan perlu dijaga. Guru tidak boleh sewenang-wenangnya membocorkan maklumat tentang murid atau tentang keadaan rumah tangga kepada sesiapa kecuali mereka yang berhak untuk mengetahuinya. Segala maklumat yang telah diberikan oleh ibu bapa murid kepada guru perlu digunakan demi kepentingan murid dan sebagai seorang guru adalah sudah menjadi tanggungjawab untuk menggunakan maklumat tersebut dengan bijaksana dan teliti. Oleh hal yang demikian, guru perlu menjaga kepercayaan ibu bapa dan murid dengan mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan suatu perbuatan yang boleh mengaibkan mereka. 

 

iii. Tanggungjawab Guru Terhadap Rakan Sejawat dan Profesion Keguruan

Selain itu, seseorang guru juga mempunyai tanggungjawab terhadap rakan sejawatan yang berada dalam profesion yang sama. Oleh hal yang demikian, guru perlu mengelakkan diri daripada membuat sebarang tindakan atau mengeluarkan pernyataan yang boleh mencemarkan nama baik rakan sejawat di hadapan para murid atau ibu bapa murid. Setiap guru mempunyai tanggungjawab untuk menjaga maruah sebagai seorang guru dengan cara tidak melibatkan diri dalam apa jua kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai seorang guru. Secara ringkasnya, sebagai individu yang bergelar guru, adalah menjadi tanggungjawab diri untuk sentiasa menjaga atau tidak mencemarkan nama baik profesion keguruan. Sikap suka membantu rakan sejawat juga perlu sentiasa diterapkan dalam diri setiap guru. Sebagai contoh guru hendaklah sentiasa berlapang dada untuk menghulurkan bantuan dengan rakan sejawat terutamanya bagi mereka yang baru menceburi profesion keguruan.


iv. Tanggungjawab Guru Terhadap Masyarakat dan Negara

Kod etika profesionalisme perguruan yang terakhir ialah tanggngungjawab terhadap masyarakat dan negara. Semasa menjalankan tugas profesion guru perlu menitikberatkan setiap tingkah laku dengan menjalankan tanggungjawab sekali gus mengambil kira keperluan masyarakat dan negara. Di mana guru harus mengelakkan diri daripada menyebarkan apa-apa ajaran negatif yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat dan negara. Sudah menjadi tanggungjawab seorang guru untuk mendidik para murid menjadi warganegara yang mempunyai nilai-nilai murni yang positif dalam diri agar dapat menjamin masa hadapan negara. Dengan adanya didikan yang dapat membentuk murid yang bermoral tinggi, sudah tentu rakyat yang taat setia pada negara juga turut terhasil. Semasa memegang profesion keguruan, menghormati masyarakat semasa di tempat berkhidmat adalah salah satu cara guru untuk menjadi seorang warganegara atau masyarakat yang boleh membawa impak positif dalam diri masyarakat. 


CABARAN PELAKSANAAN KOD ETIKA PERGURUAN DI MALAYSIA

    Dalam apa jua perkara yang dilakukan atau dilaksanakan, sudah tentu mempunyai cabarannya yang tersendiri, begitu juga dengan pelaksanaan kod etika profesionalisme perguruan di Malaysia. Antara cabaran yang dihadapi ialah penggunaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Abad 21 yang sentiasa mengalami penambahbaikan serta perubahan mengikut peredaran masa.  Kaedah PdP kini lebih cenderung kepada penggunaan gadjet dan teknologi elektronik. Sebagai contoh, semasa menghadapi pandemik Covid 19, PdP adalah berjalan dalam talian di mana setiap guru dan pelajar memerlukan peranti-peranti yang boleh digunakan untuk mengikuti aktiviti PdP seperti telefon pintar, komputer riba dan gadjet-gadjet lain. Hal ini telah menjadi salah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang guru kerana perlu menguasai kemahiran dalam penggunaan aplikasi-aplikasi yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti PdP. Bukan sahaja guru, pelajar juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan norma baharu kehidupan mengikut peredaran masa kini dan keadaan yang mendesak.

  Selain itu, cabaran lain dalam pelaksanaan kod etika profesinalisme perguruan di Malaysia ialah guru terpaksa menanggung tanggungjawab kerja yang banyak. Hal ini dikatakan demikian kerana berlakunya reformasi pendidikan hari ini di mana tanggungjawab  kerja sebagai seorang guru yang perlu ditanggung oleh guru bukan sahaja dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, malah guru juga terpaksa menghadapi masyarakat yang sentiasa memerhati segala perkara yang berkaitan perguruan. Pelbagai cabaran dan implikasi yang timbul disebabkan hal tersebut dan ianya menambahkan lagi beban kerja guru kerana perlu menghadapi keadaan yang menuntut perubahan dan pembaharuan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa. 




ISU SEMASA


    Tular di media sosial video seorang guru yang merakam wajah salah seorang muridnya yang kurang kemampuan untuk membeli pakaian sukan. Sikap guru tersebut yang “gila konten” dianggap tidak beretika dan melanggar kod etika profesionalisme keguruan di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana tindakan guru tersebut dianggap telah mengaibkan muridnya dan ianya adalah bertentangan dengan kod etika profesion keguruan iaitu tanggungjawab guru terhadap murid dan tanggungjawab guru terhadap ibu bapa. 


 Merujuk kod etika profesionalisme keguruan, seorang guru perlulah menjalankan tanggungjawab terhadap ibu bapa iaitu berusaha untuk tidak melibatkan urusan pendidikan dengan urusan rumah tangga. Guru juga perlu mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu atau mengeluarkan apa-apa pernyataan yang boleh mengaibkan murid atau ibu bapa nya agar dapat menjaga kepercayaan ibu bapa terhadap guru. Dalam video tersebut, guru yang terbabit turut bertanya tentang pekerjaan ibu bapa murid itu sebelum memberitahu dia akan membelikan pakaian sukan untuk murid tersebut.

Selain itu, tindakan guru tersebut merakam serta menyebarkan video itu juga telah mencemarkan profesion keguruan. Hal ini kerana masyarakat berpendapat bahawa guru tersebut tidak menghormati privasi muridnya. Tambahan pula, guru tersebut dianggap telah mengaibkan murid dan ibu bapa kepada murid itu. 

Mengulas tentang isu tersebut, seorang pakar pendidikan iaitu Dr. Anuar Ahmad telah berkata, tindakan segelintir guru merakam atau membuat siaran langsung semasa melakukan tugas rasmi adalah perilaku yang sepatutnya dielakkan. Hal ini kerana privasi murid-murid mestilah dijaga.




















PELAKSANAAN PERATURAN DAN UNDANG-UNDANG PENDIDIKAN DALAM AMALAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA

    



Peraturan pendidikan di Malaysia adalah berkaitan dengan perbuatan tentang moral yang menjamin keadilan dan satu bentuk kawalan ke atas semua penjawat awam untuk menjamin kesejahteraan hidup. Bagi undang-undang pendidikan pula, ia berkaitan dengan semua peraturan yang berkaitan tingkahlaku yang dibentuk mengikut autoriti atau adat sesuatu kaum dan undang-undang yang telah digubal oleh sesebuah badan pengubalan undang-undang yang bertujuan melindungi hak individu dan kebebasan tertentu. Terdapat banyak persamaan dan perbezaan antara peraturan pendidikan dan undang-undang pendidikan yang akan dipatuhi dalam sistem pendidikan di Negara ini.

 

Persamaan antara Peraturan Pendidikan dan Perundangan Pendidikan

  1. Dokumen bertulis
  2. Panduan dalam kehidupan
  3. Panduan sekiranya berlaku masalah
  4. Peraturan disahkan sebelum digunakan
  5. Kaedah pembuatan hukuman adalah sama
  6. Memastikan pendidikan Malaysia berkembang





Berikut merupakan Pematuhan Guru Sebagai Penjawat Awam

  • Akta Pendidikan 1996

Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Dikenali juga Akta 550 sebagai rujukan dalam melaksanakan tanggungjawab warga pendidik agar sentiasa berada di landasan yang betul.

 

  • Perintah Am Bab D

Peraturan-peraturan pegawai awam iaitu Kelakuan dan Tatatertib yang mencakupi kewajipan pegawai awam mematuhi peraturan, kawalan dan pengawasan tatatertib. Disenaraikan kesalahan dan ketidakpatuhan terhadap prosedur tatatertib yang boleh disabitkan dengan hukumantatatertib dan penamatan perkhidmatan demi kepentingan awam. Sebagai contohnya, seseorang pegawai tidak boleh membelangkan tugas awamnya demi kepentingan peribadi, memburukkan nama atau mencemarkan nama perkhidmatan awam, melakukan ganggguan seksual, keterhutangan yang serius, membuat pernyataan awam, melakukan perkerjaan luar, tidak mematuhi etiket pakaian dan sebagainya.

  • Pekeliling Ikhtisas dan Kementerian

Warta kerajaan yang dikeluarkan dan diedarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dari masa ke semasa.Merupakan satu arahan dan garis panduan dalam melaksanakan suatu tugasan dan perkhidmatan. Merupakan satu punca kuasa yang perlu dipatuhi oleh guru-guru.

 

  •            Undang-undang Sivil dan Syariah

Undang-undang Syariah merupakan hukum perundangan Islam dari Allah SWT bagi umatNya bersumberkan al-Quran dan as Sunnah Rasulullah SAW Termasuk dalam kesalahan ialah berkaitan hubungan tidak sah seperti khalwat dan persetubuhan haram.Undang-undang Sivil merupakan sekumpulan undang-undang yang mengawal hak dan tanggungan (liabiliti) sivil antara individu dengan individu, individu dengan masyarakat dan masyarakat dengan individu. Contohnya: Hak asasi kanak-kanak bagi mendapatkan pendidikan. Satu lagi ialah Undang-undang jenayah yang berfungsi mengawal kesalahan yang dilakukan terhadap masyarakat. Sebagai contoh sekiranya seseorang mencuri, maka undang-undang jenayah yang akan digunakan untuk mengawal atau mengurus si pencuri itu.


RUJUKAN

Zaini Abdulah.(2021): Modul Perkembangan Pendidikan Di Malaysia Falsafah Dan Dasar. Tanjong Malim Perak. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Muhammad Zulkarnain Mohd Azman.(2021): Period Spot Checks' Langgar Hak, Salah Di Sisi Undang-undang. Berita Sinar Harian Online.

Featured Post

HUBUNGKAIT KERJAYA GURU DAN AMALAN KOD ETIKA PROFESIONALISME DI MALAYSIA

HUBUNGKAIT KERJAYA GURU DAN AMALAN KOD ETIKA PROFESIONALISME DI MALAYSIA Kerjaya Guru             Kerjaya guru merupakan guru itu sebagai sa...